Berikut ini disenaraikan tanda-tanda Gelagat/Perlakuan bebiri ketika sakit. Maklumat ini mungkin boleh digunakan oleh para penternak bagi mengenalpasti bebiri yang sakit. Kesemuanya merupakan tanda-tanda awal simptom yang mana ianya boleh digunakan oleh penternak sebagai panduan ke arah kebaikan dan kesihatan ternakan yang cergas dan sihat. Seterusnya, langkah-langkah yang betul boleh diambil di dalam usaha untuk mengenalpasti / diagnosa jenis-jenis penyakit yang menyerang ternakan berdasarkan simptom-simptom kelakuan dan fizikal.
Perlu diingat bahawa pemerhatian dan pengenalpastian pada peringkat awal mampu meningkatkan peluang kejayaan sesuatu tindakan perawatan. Oleh itu, sila buat semakan dan rujukan dengan pegawai veterinar di daerah anda sekerap yang mungkin.
Ternakan mengasingkan diri dari kawanan
~ Bebiri adalah haiwan yang secara semulajadinya suka berkelompok. Bebiri atau anak-anak yang mengasingkan diri selalunya menunjukkan tanda-tanda awal sakit.
Ternakan tidak mahu makan dan minum
~ Mungkin tanda-tanda sakit perut atau lain-lain.
Ketinggalan / Terkebelakang ketika didalam kawanan
~ Bebiri yang aktif dan sihat selalu berada di barisan hadapan ketika keluar atau masuk kawasan kandang. Sifatnya memang suka berlari dan berkejaran di dalam kawanan. Sekiranya pada hari-hari tertentu bebiri sihat tersebut ketinggalan di bahagian belakang maka berikan perhatian dan rawatan awal secepat mungkin.
Kepenatan / Tekanan (Stress)
~ Bebiri yang kurang peka dengan keadaan sekeliling. Kepala sering tunduk serta mata yang tidak bermaya mungkin berada di dalam kesakitan yang amat.
Enggan bergerak dan banyak menghabiskan masa untuk tidur
~ Mungkin demam, mastitis, atau lain-lain kesakitan yang menyebabkan bebiri sukar untuk bangunan dan berjalan.
Resah , tidak tenang
~ Ternakan yang mengalami tekanan ataupun stress mungkin menghadapi kesulitan untuk berehat dan mengunyah (ruminate).
Tabiat makan yang aneh
~ Kadang-kadang bebiri memakan bahan-bahan yang tidak sepatutnya dimakan seperti kayu, kotoran, cat, tulang, bulu dan rerambut (daripada bebiri lain). Mungkin satu petanda kekurangan diet. Contohnya kekurangan zat besi boleh menyebabkan bebiri memakan kotoran. Memakan kayu atau tulang adalah petanda kekurangan zat fosforus. Ataupun mungkin masalah gelagat/ kelakuan seperti bosan dan stres.
Kadar pernafasan cepat
~ Bagi anak-anak bebiri, ini mungkin tanda-tanda jangkitan paru-paru atau Pneumonia.
Najis / Tinja
~ Biasanya keluar berbintil-bintil dan keras. Najis/tinja yang berair atau berdarah bermaksud masalah mungkin terjadi.
Cara yang terbaik untuk mempelajari gelagat/kelakuan bebiri yang sihat ialah dengan membuat pemerhatian terperinci ke atas bebiri sihat. Luangkan sedikit masa setiap hari untuk menjalankan pemerhatian ke atas kawanan bebiri. Tujuannya adalah tidak lain dan tidak bukan untuk mempelajari gelagat/kelakuan normal bebiri ; dan mengenalpasti gelagat/kelakuan bebiri yang di luar dari kebiasaan yang mungkin menunjukkan tanda-tanda permasalahan di kemudian hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan