Selasa, 30 Mac 2010

SIFAT & KELAKUAN BEBIRI - BAHAGIAN KEDUA

SAMBUNGAN :
SIFAT & KELAKUAN BEBIRI - BAHAGIAN KEDUA

1. Deria Lihat

Pernahkah anda melihat mata bebiri secara bertentangan (Eye to Eye)? Jika pernah, anda mungkin dapat mengenalpasti beberapa perkara. Antara yang paling jelas ialah : bebiri mempunyai anak mata (pupil) yang sangat besar dan bentuknya pula amat berbeza dengan kita manusia, iaitu lebih kurang segi empat (rectangular). Bebola matanya terletak di sebelah sisi kepala yang memberikan mereka sudut pandangan yang lebih luas.

Jika difikirkan secara mendalam, memang wajar sekali bebiri dilengkapi dengan struktur dan kedudukan mata yang sebegitu rupa memandangkan mereka pada kewujudan asalnya merupakan haiwan pemangsa. Berlainan pula dengan haiwan pemburu seperti anjing dan serigala, yang mempunyai kedudukan mata di bahagian hadapan kepala. Kedudukan mata sebegitu rupa menjadikan pandangan mereka lebih sempit tetapi fokus pandangan mereka lebih tepat dan tajam.

Spesis haiwan pemangsa seperti bebiri dan lembu mempunyai pandangan mata yang lebih luas. Bebiri mampu melihat seluruh kawasan di sekelilingnya dengan hanya membuat sedikit pergerakan kepala sahaja. Sekiranya terdapat ancaman, bebiri dengan serta merta dapat mengenalpastinya.......dan tindakbalas bebiri adalah sangat mudah dan spontan iaitu lari....lari....dan lari melarikan diri. 



2. Deria dengar

Tidak banyak maklumat yang boleh diperkatakan mengenai deria pendengaran bebiri. tetapi yang pastinya bebiri amat sensitif terhadap bunyi bising yang nyaring dan juga bunyi yang datang secara tiba-tiba seperti bunyi objek yang jatuh atau salakan anjing. Mereka menjadi takut, gelisah dan susah untuk dikawal. Oleh itu, sila ambil langkah berhati-hati ketika mengendalikan bebiri.

3. Deria Bau

Deria ini lebih banyak digunakan bebiri berbanding dengan deria dengar. Di antara yang biasa dapat dilihat ialah bagaimana bebiri menggunakan deria ini untuk mengenalpasti bebiri lain. Dan yang paling khususnya apabila ibu bebiri menggunakan hidung untuk mendapatkan anaknya di kalangan kawanan bebiri.

Satu lagi kegunaannya ialah semasa proses mengawan. Si Pejantan (Ram) tanpa jemu-jemu berjalan dan menhidu bebiri betina dewasa (Ewe) satu-persatu untuk mengesan mana-mana bebiri betina yang "in heat (estrus)". Dan jika dapat dikesan adanya bebiri betina yang berada dalam situasi sedemikian, pejantan dengan serta-merta akan mendongak kepala sambil menggulung bibir atas ke arah hidungnya sendiri. Kelakuan klasik sebegini dikenali sebagai "Flehmen response". kelakuan ini juga kekadangnya boleh juga dilihat dilakukan oleh bebiri betina.

Bebiri berkemungkinan besar juga menggunakan deria bau untuk mendapatkan air minuman dan untuk membezakan antara pastura dan makanan-makanan lain. Sebagai contoh : bebiri tidak akan meragut di tempat yang mana terdapat kesan kencing atau najis bebiri lain. Begitu tajamnya deria ini sehingga ia mampu mempengaruhi tindakbalas perlakuan bebiri, yang mana ianya secara tidak langsung memberi kesan yang besar ke atas corak ragutan bebiri di kawasan padang ragut.

Bebiri akan memilih makanan yang segar daripada yang layu atau lapuk. Cuba anda hidu bau makanan atau rumput yang lapuk....macam mana baunya?...... Dan ingatlah jika baunya tidak menyenangkan anda, maka ianya lebih lagi tidak disukai oleh bebiri. Ada juga makanan lain seperti silaj yang mana baunya teramat busuk tetapi tetap disukai oleh bebiri.

4. Deria rasa 

Tidak banyak yang boleh dipelajari tentang tindakbalas kelakuan bebiri bersabit dengan deria rasa jika dibandingkan dengan deria bau.

Bebiri mampu membezakan jenis makanan yang diambil dan deria rasa mempunyai peranan yang penting dalam hal ini. Apabila dihadapkan dengan pelbagai makanan, bebiri akan memilih makanan-makanan yang tertentu berbanding dengan yang lain. Di dalam situasi praktikal yang sebenar iaitu semasa berada di kawasan ragut yang mengandungi pelbagai foraj, bebiri juga akan memilih pelbagai foraj yang disukainya sahaja. Berbeza sekali jika dibandingkan dengan corak ragutan kambing atau lembu...... Memang ada kajian yang telah dijalankan untuk menentukan samada bebiri memiliki "Nutritional Wisdom". Kajian dibuat disebabkan bebiri akan cuba memakan makanan yang boleh memberikan mereka pelbagai nutrisi atau khasiat yang diperlukan. Dan biasanya bebiri tidak tahu menyeimbangkan makanan yang diambil apabila dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan.

Inilah masalahnya............. Memang tabiat bebiri yang gemar mengambil makanan sehingga melebihi kapasiti muatan perutnya hanya semata-mata untuk mencapai nutrisi atau khasiat yang diperlukan. Pengambilan garam boleh dijadikan contoh yang  terbaik. Tujuan diberikan garam ialah untuk memenuhi keperluan Sodium. Tetapi bebiri selalunya mengambil garam jauh melebihi dari keperluan asasnya. Oleh itu, pastikan bekalan air minuman sentiasa mencukupi. Pengambilan garam yang berlebihan tidak akan memudaratkan bebiri sekiranya bekalan air minuman mencukupi pada setiap masa.

Ekoran dari masalah pengambilan makanan yang sebeginilah, maka setiap pengembala atau penternak bebiri perlu melengkapkan diri dengan satu lagi aspek pengurusan yang tidak kurang juga pentingnya iaitu  bab Penyediaan dan Pengurusan Makanan. Ingin kami ingatkan satu lagi masalah yang selalu timbul berkaitan pengambilan makanan berlebihan di sini iaitu Kembung Perut (Bloat). Kami dapati ramai di kalangan perternak kecil-kecilan terutamanya di kampung-kampung tidak tahu kenapa masalah ini kerap terjadi kepada ternakan mereka. Lantaran itu banyak ternakan yang mati tanpa diketahui punca utamanya.. Insya'aallah, jika diizinkan tuhan, kami akan cuba paparkan artikel yang berkaitan sedikit masa lagi.


5. Deria sentuh

Hampir keseluruhan badan bebiri dilitupi oleh bulu atau rerambut kasar. Kaki/kuku bebiri sememangnya bukan dicipta untuk merasai sentuhan sepertimana kita manusia. Setakat ini, hanya hidung, bibir, mulut dan mungkin telinga yang boleh dikaitkan dengan tindakbalas kelakuan bebiri. Walaupun badan dipenuhi dengan bulu, tidak semestinya kulit di celah-celah bulu tiada sensitiviti terhadap apa-apa sentuhan. Yang sebenarnya kulit bebiri adalah amat sensitif. Itulah sebabnya mengapa ia dilitupi dengan bulu atau rerambut kasar. Begitu juga dengan tapak kaki. Sesiapa yang pernah memotong kuku bebiri mungkin boleh menceritakan betapa sensitifnya tapak kaki bebiri.

Peri penting deria sentuhan terutamanya ketika berinteraksi sesama haiwan memang tidak boleh kita pertikaikan. Sebagai contohnya : Anak bebiri gemar menggesel-geselkan badannya dengan si ibu dan si ibu pula bertindakbalas dengan sentuhan tersebut melalui pelbagai cara. Di antara tindakbalas tersebut adalah melalui pengeluaran susu ibu yang terhasil akibat dari stimulus hisapan oleh anak bebiri.

Sekian.....












Tiada ulasan: