Rabu, 7 April 2010

SERBA RINGKAS TENTANG PEMBIAKAN BEBIRI MUDA

Pembiakan bebiri muda betina di kandang Bebiriku dilakukan seawal yang mungkin. Pada amnya bebiri muda di sini mula dibiakkan pada peringkat umur 7 bulan dan ke atas bergantung kepada baka, kesuburan (puberty) dan berat badan bebiri muda tersebut. Objektif kami di sini ialah untuk memastikan bebiri muda betina mula melahirkan anak pada umur 1 tahun dan bukannya pada umur 1 tahun baru mula hendak dibiakkan. Untuk tujuan tersebut, banyak faktor yang perlu diambil kira. Proses pemilihan demi pemilihan perlu dilakukan dengan begitu teliti bersandarkan kepada rekod dan data yang kami kumpulkan setiap masa. 

Untuk makluman, proses pembiakan sebegini memang sukar untuk dilaksanakan disebabkan bebiri muda betina pada amnya tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kelakuan mengawan (mating behaviour) seperti mana yang biasa dipamerkan oleh bebiri betina yang telah matang. Walaupun bebiri muda tersebut telah dipilih daripada baka yang mempunyai tahap kesuburan awal, pemerhatian dan pengurusan rapi tentang kesihatan dan pemakanan hendaklah dititikberatkan bagi memastikan objektif kami tercapai. 

Pemilihan Pejantan yang baik dan aktif pula amat diperlukan bagi menjayakan program ini. Pejantan janganlah terlalu besar untuk mengelakkan berlakunya kecederaan kepada bebiri muda. Pejantan perlu diletakkan bersama-sama kawanan bebiri muda sahaja. Jangan dicampur gaulkan dengan bebiri betina yang telah matang. Ini adalah kerana, pejantan lebih berminat terhadap bebiri betina yang matang berbanding dengan yang masih muda. Itu dah memang menjadi sebahagian daripada sifat Pejantan..... apa sebabnya...kami tak tahu kenapa...!!!. Seperkara lagi, Pejantan lebih cenderung dan berminat terhadap bebiri betina dari jenis baka yang sama dengannya. Jadi, buat persediaan awal sebelum melaksanakan program sebegini. Usaha ini memang berbaloi kerana jika bebiri muda berjaya dibiakkan, mereka akan terus membiak dan membiak tanpa henti dengan syarat penternak atau pengembala tidak mengabaikan soal kebajikan bebiri seperti pemakanan, tempat berteduh dan penjagaan kesihatan serta kebersihan kandang.



Apabila didapati bebiri muda betina berjaya dibiakkan, berikan perhatian yang khusus terhadap pemakanan dan kesihatan mereka. Pastikan makanan dan nutrien yang diperlukan betul-betul mencukupi memandangkan mereka masih lagi berada di dalam proses pembesaran. Bukan setakat itu sahaja, keadaan bakal anak di dalam kandungan bergantung kepada corak dan jumlah pemakanan yang diambil oleh bebiri muda tersebut. Buat pemerhatian setiap masa, jangan dibiarkan bebiri muda menjadi terlalu gemuk. Tujuannya adalah untuk mengelakkan berlakunya komplikasi semasa melahirkan anak ekoran anak dalam kandungan yang terlalu besar.



Buat persediaan sebelum tibanya proses kelahiran. Waktu kelahiran bagi bebiri muda merupakan tempoh yang amat sukar memandangkan mereka tiada pengalaman dan biasanya bantuan dari penternak amat-amat diperlukan. Jika anda mampu, sediakan tempat khas yang berasingan untuk tujuan tersebut. Oleh itu, buat persediaan awal....... banyak sangat perkara baru terutamanya dari segi kelakuan bebiri muda tersebut yang anda akan pelajari nanti.



Tiada ulasan: