PENGENALAN
Penyakit ini selalunya dikaitkan dengan anak bebiri yang masih menyusu. Juga merupakan antara penyebab utama kematian anak bebiri yang dilahir dan dibesarkan di dalam kandang.
Penyakit ini amat cepat merebak di kalangan anak bebiri yang mana ianya berpunca daripada sejenis organisma bakteria iaitu Pastuerella hemolytica. Pada kebiasaannya ia boleh dikesan menerusi suhu badan yang panas, kadar pernafasan yang laju, lemah dan tidak mampu untuk menyusu susu ibu. Kematian bakal menanti jika rawatan awal tidak diberi.
PENYEBAB UTAMA
Pastuerella hemolytica merupakan bakteria yang menghuni di dalam sistem pernafasan dan penghadaman kebanyakan anak dan induk betina bebiri. Anak bebiri yang baru dilahirkan sememangnya terdedah kepada bakteria ini. Walaupun begitu ia tidaklah sebegitu mudah untuk mendapat jangkitan disebabkan perkara-perkara berikut :
- Resistan semulajadi;
- Pengambilan antibodi daripada kolostrum susu ibu; dan
- Persekitaran tempat kelahiran/kandang yang bersih dan segar.
Virus seperti Parainfluenza-3 (PI-3) adalah di antara faktor lain yang boleh memburukkan lagi keadaan sistem pernafasan bebiri. Jangkitan virus ini boleh menyebabkan organ-organ sistem pernafasan menjadi bengkak dan secara tidak langsung mengurangkan keupayaan mekanisma semulajadi bebiri untuk memusnahkan Pastuerella hemolytica.
Sejenis lagi organisma yang digelar Mycoplasma juga boleh mengganggu keupayaan bebiri melawan penyakit yang bakal menjurus kepada stres dan batuk yang kronik.
Walau apa pun, P. hemolytica bukanlah satu-satunya faktor yang menyebabkan jangkitan Pneumonia. Keadaan persekitaran yang berikut mampu menyumbang ke arah keadaan yang tidak diingini sekiranya tidak dikawal dengan rapi :
- Cuaca panas lembap yang tinggi
- Debu dan habuk di kawasan kandang
- Lantai kandang yang basah, lembap dan kotor
- Kehadiran gas amonia yang berlebihan berpunca dari najis ternakan
Kesemua ancaman keadaan persekitaran ini, jika tidak dikawal boleh mengundang bahaya kerana Pneumonia tanpa disedari boleh merebak dengan begitu cepat.
Disamping itu juga, keadaan berikut ini juga boleh meningkatkan penularan jangkitan Pneumonia terutamanya terhadap anak-anak bebiri yang sedang menyusu.
- panas yang melampau
- Sistem pengudaraan kandang yang kurang baik
- Anak bebiri yang lemah dan tidak bermaya hasil daripada kelahiran yang bermasalah
- Pengambilan kolostrum yang tidak mencukupi daripada induk betina
- Lain-lain stres.
SIMPTON
Anak-anak bebiri dalam susuan ibu yang menghidapi Pneumonia pada kebiasaannya akan :
- Hilang berat abadan
- Kurus
- Letih dan selalu tidur
- Tidak mampu untuk menyusu
- Demam yang sederhana
Oleh yang demikian, para penternak digalakkan meluangkan sedikit waktu untuk membuat pemerhatian harian ke atas anak-anak bebiri untuk mengelakkan daripada berlakunya jangkitan yang lebih serius iaitu kerosakan paru-paru dan seterusnya kematian stok ternakan yang amat bernilai. Dan pada ketika dan waktu itu,....... apa jua rawatan yang diberikan pastinya tidak lagi berkesan dan efektif.
DIAGNOSIS
Simptom seperti demam dan kepenatan mungkin juga berpunca daripada penyakit-penyakit lain selain dari Pneumonia. Maka, pemeriksaan dan pengamatan yang teliti ke atas tubuh badan ternakan perlu dilakukan secara berterusan. Kaedah yang terbaik dan konklusif adalah dengan menjalankan pemeriksaan Post-Mortem. Untuk kes-kes yang lebih serius, pemeriksaan di makmal patologi, Jabatan Haiwan yang berdekatan perlu dilakukan bagi mengenalpasti punca sebenar penyakit. Atau dengan lebih tepat lagi untuk mengenalpasti organisma berjangkit yang berkaitan supaya rawatan antibiotik yang paling berkesan dapat diberikan kepada ternakan.
RAWATAN
Rawatan antibiotik yang biasa digunakan adalah seperti Penicillin dan Tetracyclines.
Pastikan anak-anak bebiri yang lemah memperolehi susu ibu dengan secukupnya. Jika sebaliknya, berikan susu gantian melalui proses 'Stomach Tube' (Kaedah ini akan kami terbitkan pada posting akan datang).
Sekiranya terjadi penularan jangkitan yang serius, dinasihatkan supaya anak-anak bebiri yang dijangkiti diberi dos terapi antibiotik untuk tempoh beberapa hari.
PENCEGAHAN & KAWALAN
Rawatan antibiotik merupakan rawatan untuk jangkapendek. Untuk pencegahan yang lebik berkesan, para penternak adalah dinasihatkan menjaga kebersihan dan memperbaiki sistem pengudaraan kandang. Juga jangan sesekali menempatkan kawanan bebiri di dalam suatu kawasan yang sempit. Keadaan persekitaran yang tidak elok dan tidak selesa sebeginilah yang sebenarnya menjadi punca utama merebaknya organisma bakteria atau virus tersebut. Oleh itu..... jangan buang masa dan wang anda... bertindaklah sekarang... Jangan tunggu sehingga penyakit merebak... bertindak sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan