Isnin, 29 Mac 2010

SIFAT & KELAKUAN BEBIRI - BAHAGIAN PERTAMA



PENGENALAN

BIRI-BIRI atau BEBIRI....... Haiwan unik ini dikatakan telah wujud sejak ratusan ribu tahun dahulu. Di negara mana sekalipun anda berada, haiwan ini pasti wujud dengan bentuk fizikal yang berbeza-beza tetapi tetap mempunyai kelakuan dan tabiat yang sama. Mereka berkembang biak di dalam persekitaran uniknya yang tersendiri.

Pengetahuan dan ilmu yang mendalam tentang kelakuan atau sifatlaku bebiri akan memberi menafaat dan kelebihan kepada mana-mana penternak di mana pengetahuan tersebut boleh dipraktikkan di dalam segenap aspek pengurusan ternakan bebiri yang amat luas cabang ilmunya. Catatan kami yang tidak seberapa ini juga adalah bersandarkan kepada pengalaman kami selama lebih 5 tahun di dalam bidang penternakan bebiri di Negeri Cik Siti Wan Kembang yang juga penuh dengan keunikannya yang tersendiri. Di dalam catatan ini, akan kami cuba paparkan semampu yang mungkin mengenai perihal kelakuan bebiri daripada kelakuan semasa mengawan sehingga proses melahirkan anak.

Catatan kami ini juga bukanlah rangkuman terperinci....... tetapi, Insya'allah akan kami berikan fokus terhadap ciri-ciri kelakuan tertentu sahaja yang difikirkan dapat membantu para penternak di dalam aspek pengurusan di ladang ataupun di kandang.. INSYA'ALLAH....... 


ASAS-ASAS KELAKUAN BEBIRI

Kami mulakan di sini dengan ringkasan tentang Deria bebiri kerana deria adalah alat yang digunakan bebiri untuk berinteraksi dengan persekitaran dan juga manusia. Deria inilah juga antara perkara utama yang membezakan kelakuan bebiri di kalangan haiwan lain di dalam kerangka Dunia Haiwan (Animal Kingdom).

Kelakuan boleh didefinisikan sebagai tindakbalas haiwan terhadap persekitarannya. Bebiri hidup dan wujud di dalam persekitaran yang terkawal dan pada kebiasaannya, tindakbalas mereka terhadap persekitaran sememangnya boleh dikenalpasti berdasarkan kepada ciri-ciri kelakuan yang diwarisi (inherited) dan yang dipelajari (learned). Kajian kelakuan merupakan satu aspek penting yang menjadikan bebiri itu seekor bebiri, yang mana akan menjawab segala persoalan tentang "Apakah itu Bebiri?"


Dr. R Kilgour, seorang pengkaji bebiri (Ethologist) mendefinisikan bebiri sebagai seekor haiwan yang :- 

  • Tidak mempunyai pertahanan diri kecuali berlari dan melarikan diri
  • Sangat berhati-hati
  • Hidup dalam kumpulan/kawanan
  • Mempunyai deria penglihatan yang luas
  • Suka mengunyah - inilah sebabnya mengapa bebiri digelar sebagai haiwan ruminan (Ruminating).
  • Berbulu - yang berevolusi dari habitat padang pasir atau padang rumput di pergunungan dengan keperluan air yang sedikit
  • Menunjukkan sifat yang suka mengikut di antara satu sama lain
  • Mempunyai ikatan perhubungan yang kuat dan intim di antara ibu dan anak 
  
 Satu kelakuan unik yang ada pada bebiri ialah sifatnya yang suka mengunyah. Sebagai contoh, cuba anda lihat perbezaan corak pemakanan di antara bebiri dengan haiwan pemangsa ataupun Karnivor. Karnivor hanya memerlukan masa yang singkat sahaja untuk makan, tetapi sebaliknya mengambil masa yang agak lama untuk mencari makanan. Manakala bebiri pula mengambil masa yang lama untuk makan dan mengunyah dan tidak memerlukan masa yang panjang untuk mencari makanan. Karnivor secara tipikalnya menyerang mangsanya dan menunggu seketika sebelum memakan habuannya. Bebiri hanya tahu meragut......... Karnivor agresif, manakala bebiri pasif........ Karnivor secara anatominya sesuai dan memang dicipta untuk membunuh haiwan lain sementara bebiri hanya tahu meragut....... Karnivor membunuh bebiri...... Bebiri tidak pernah dan tidak akan membunuh karnivor.

Pakar Etologi mengesahkan bahawa perlakuan asas bebiri adalah mengunyah. Ianya adalah berpandukan kepada banyaknya masa yang dihabiskan oleh bebiri untuk mengunyah. Aktiviti mengunyah boleh mengambil masa beberapa jam dalam sehari dan untuk tujuan tersebut bebiri memerlukan keselesaan tempat tinggal yang nyaman dan sunyi. Stres dan sebarang gangguan yang mengejut akan menyebabkan aktiviti pengunyahan terhenti. Di waktu aktiviti ini rancak berjalan, bebiri pada amnya menampakkan ekspresi muka yang seakan-akan khayal dan mengantuk. Dan pada kebiasaannya ianya dilakukan  secara berkumpulan. Inilah dia perlakuan yang selalu dikaitkan sebagai semangat berkumpulan. Ada yang menggelarkan aktiviti kunyah-mengunyah ini sebagai suatu aktiviti "anti-boredom".


DERIA BEBIRI

Terbahagi kepada 5 deria asas :
  • Deria lihat
  • Deria dengar
  • Deria bau
  • Deria rasa (mulut) dan
  • Deria sentuhan 
 Kelima-lima deria ini merupakan alat yang digunakan oleh bebiri untuk berinteraksi dengan persekitarannya. Oleh yang demikian, deria-deria tersebut bolehlah dianggap sebagai pengantara terhadap respon atau tindakbalas perlakuan bebiri.




Posted by Picasa

Tiada ulasan: