Selasa, 19 Oktober 2010

PEMERHATIAN GELAGAT/KELAKUAN BEBIRI KETIKA SAKIT DAN SIHAT

PEMERHATIAN GELAGAT/KELAKUAN BEBIRI KETIKA SAKIT DAN SIHAT 

Selalu sangat umum mengatakan bahawa tiada gunanya merawat bebiri yang sakit. Maksudnya di sini, walau apa ikhtiar pun yang dilakukan bebiri tersebut tetap akan mati...." a sick sheep is a dead sheep ". Perumpamaan seperti ini seolah-olah sudah menjadi satu kepercayaan dan sebati dengan kebanyakan orang termasuklah para penternak itu sendiri. Tetapi realitinya tidaklah sebegitu rupa bagi seorang penternak yang berpengalaman dengan perangai dan tabiat bebiri. Mereka biasanya bijak dan mudah mengenalpasti simptom atau tanda-tanda awal sakit ternakannya dengan memberi rawatan awal tanpa sebarang masalah.

Foto dipetik dari www.fao.org.com

Bebiri adalah seekor haiwan yang tahan lasak. Mereka jarang sekali menunjukkan simptom-simptom berpenyakit sehinggalah pada tahap yang kritikal. Tatkala simptom berkenaan semakin jelas, ianya mungkin sudah terlambat untuk diberikan apa-apa rawatan. 

Seorang penternak yang sering mengutamakan penjagaan kesihatan ternakan pada peringkat awal penyakit biasanya berjaya mengawal keadaan tersebut dan seterusnya membuat rawatan susulan. Tugasan sebegini memerlukan pemerhatian yang berterusan serta usaha dedikasi untuk mempertingkatkan keupayaan membezakan di antara bebiri sakit dan bebiri sihat.

Secara amnya terdapat tiga (3) kaedah bagi mengenalpasti tahap kesihatan bebiri.
1) Mengukur tahap pengeluaran (kembang biak);
2) Ujian Bio-Kimia;
3) Pemerhatian Gelagat/Kelakuan Bebiri. 

Kaedah yang paling biasa digunakan ialah pemerhatian ke atas gelagat/kelakuan. Kaedah ini penting terutama sekali dari aspek pengurusan penternakan bebiri secara praktikal dalam kata erti yang sebenarnya.




 GELAGAT/KELAKUAN BEBIRI YANG SIHAT

Langkah pertama dalam mengenalpasti corak kelakuan bebiri yang sakit ialah dengan mempelajari dan memahami bagaimana gelagat/kelakuan bebiri ketika sihat.

Artikel-artikel yang dipaparkan sebelum daripada ini kebanyakannya merujuk kepada gelagat/kelakuan bebiri yang sihat-sihat belaka. Bebiri sihat mempunyai pelbagai ciri-ciri kelakuan yang mungkin menyukarkan penternak mengenalpasti kelakuan yang berlawanan atau ketika sakit. Sebagai contoh, bebiri yang sihat biasanya akan menunjukkan selera makan yang baik. Akan tetapi, Pejantan yang sihat mula hilang selera makannya secara tiba-tiba apabila terdapat ibu-ibu bebiri yang berada dalam tempoh kehangatan (heat period). Kelakuan sebegini merupakan satu kebiasaan bagi Pejantan tersebut. Mereka sebenarnya sihat dan tidak sakit. Cumanya pejantan tersebut terlalu asyik dan komited dalam menjalankan tugasannya sehinggalah kesemua ibu-ibu bebiri yang berada di dalam kawanannya betul-betul beralih ke tahap reproduksi yang seterusnya. Cabaran yang bakal dihadapi oleh penternak ialah untuk mengetahui bilakah gelagat/kelakuan normal akan menjadi abnormal dan situasi sebegini perlu dikenalpasti dengan secepat mungkin. Contoh gelagat/kelakuan Pejantan tadi boleh diceritakan lagi di sini. Keinginan nafsu tinggi (high libido) pejantan akan menyebabkannya lupa soal makan minum dalam tempoh masa yang agak lama sehinggakan berat badannya turun mendadak dan mungkin membahayakan kesihatannya. Penternak mesti belajar untuk mengenalpasti senario kritikal sebegini dan tindakan pantas untuk membawa Pejantan keluar dari kawanan perlu dilakukan dengan segera. Biasanya Pejantan tersebut akan diasingkan bersendirian untuk beberapa tempoh yang sesuai dan diberi makan dengan secukupnya sehinggalah keadaan fizikalnya kembali kepada normal.

Usaha-usaha mengenalpasti bebiri sihat amat bergantung kepada pemerhatian yang teliti terhadap bentuk fizikal haiwan dan juga ciri-ciri gelagat/kelajuannya. Disebabkan fokus paparan ini adalah berkenaan dengan gelagat/kelakuan, maka tumpuan utama di sini ialah untuk menerangkan gelagat/kelakuan bebiri sihat sahaja.

Waktu makan adalah waktu terbaik yang dimiliki penternak untuk memerhatikan gelagat/kelakuan normal dan abnormal bebiri. Bebiri matang dan sihat akan makan dan mengunyah seperti biasa. Keinginan untuk makan selalunya sangat tinggi dan sekiranya dibiarkan lapar, tahap keinginan tersebut akan meningkat sama. 

Bebiri yang sihat akan menunjukkan gelagat/kelakuan tidak sabar dan mengeluarkan suara gamat serta bising ketika menunggu untuk diberikan makan atau ketika sebelum dilepaskan ke kawasan ragutan. Mereka juga sering berlari untuk mendapatkan makanan yang diletakkan di dalam bekas makanan. Selalunya bebiri yang dominan akan sampai terlebih dahulu dan yang lemah/kurang sihat akan ketinggalan. Gelagat seumpama ini tidak mungkin terjadi sekiranya mereka kenyang. Contoh; ketika kawanan ternakan mula pulang dan meninggalkan kawasan ragut, bebiri yang kurang dominan akan berjalan keluar terlebih dahulu dengan diikuti oleh ibu-ibu yang dominan dan yang terakhir sekali bebiri yang lemah atau kurang sihat.

 Bebiri yang sihat dan matang akan menjalankan aktiviti kunyahan (cud chewing) selama beberapa jam setiap hari. Mereka juga apabila selesai mengunyah ataupun selepas sedar dari tidur akan bersegera bangun berdiri dan menggeliat (stretching) sambil mengeluarkan najis/tinja yang berbintil-bintil serta keras. Bebiri matang hanya menggunakan 15% daripada masa dalam sehari untuk tidur dan selebihnya mereka hanya baring berehat selain dari dari makan.

Ibu-ibu bebiri yang sihat akan menunjukkan kelakuan seksualnya yang normal mengikut kitaran estrus (sila rujuk catatan gelagat/kelakuan pembiakan). pejantan yang sihat akan kehilangan berat badan ketika musim mengawan/pembiakan disebabkan oleh gelagat/kelakuannya yang berubah pada waktu tersebut.

Anak-anak bebiri sihat secara tipikalnya tersangat aktif sewaktu kenyang dan sejurus terjaga dari tidur. Ketika bermain dalam kawanan, mereka biasanya yang pailing sibuk berlari-lari dan melompat sana sini di serata tempat. Mereka gemar memanjat dan berada di tempat yang lebih tinggi. Keghairahan mereka boleh dilihat ketika menyusu sehinggakan bahagian belakang ibunya terangkat naik semasa mereka melonjakkan kepala pada waktu tersebut. Oleh itu, bagi mengelakkan daripada berlakunya kecederaan kepada si ibu, ada eloknya si nak diceraikan susuan dari ibunya (weaning). Namun hal ini terserah kepada penternak untuk membuat keputusan samada hendak diceraikan ataupun tidak. Tetapi sekiranya umur anak bebiri sudah mencecah umur 3 bulan, adalah tidak wajar ia diberikan susuan ibu lagi memandangkan anak-anak bebiri berkenaan sudah mampu untuk mencari makanan sendiri.

Anak-anak bebiri mempunyai sifat-sifat ingin tahu serta gemar berkeliaran dan menerokai ke hampir setiap inci kawasan tempat tinggal mereka. Sifat dan kelakuan sebegini selalunya memberi sedikit kesukaran kepada penternak untuk mengajak atau menarik perhatian mereka ke tempat penyediaan makan yang telah direka  khas buat anak-anak bebiri (creep feeders). Creep feeders adalah lokasi penyediaan makanan khas untuk anak-anak bebiri sahaja yang mana bebiri dewasa tidak boleh memasukinya disebabkan pintu masuknya yang kecil dan sempit.

Anak-anak bebiri yang sihat biasanya tidur selama 8 hingga 12 jam dalam sehari. Mereka akan mencari ibunya semasa hendak tidur dan akan tidur serapat yang mungkin dengan ibunya. Pada umur seawal 10 hari, mereka mula menggigit-gigit makanan pejal seperti ramput dan dedaun. Seterusnya pada peringkat umur 8 minggu mereka sudah mampu untuk memakan makanan pejal dalam jumlah yang banyak bagi memenuhi sebahagian daripada diet pemakanan mereka yang makin meningkat. 

Aspek terakhir yang penting untuk diperhatikan ialah keadaan tubuh badan ternakan. penurunan berat badan bukan disebabkan oleh perubahan gelagat/kelakuan bebiri. Badan yang kurus adalah petanda bahawa ternakan keletihan dan lemah. Ternakan yang kehilangan berat badan mungkin mempunyai masalah kesihatan dan jika diabaikan mereka mudah dijangkiti penyakit-penyakit jangkitan sekunder yang jauh lebih serius. Kadang-kadang bulu tebal yang menutupi badan ternakan menyukarkan penternak untuk mengetahui haiwan yang mempunyai simptom-simptom berpenyakit. Oleh itu, buatlah pemeriksaan ke atas ternakan dengan lebih kerap dengan menyentuh dan memegang anggota badan ternakan terutamanya di bahagian tulang rusuk dan tulang belakang. 

Tiada ulasan: