Isnin, 18 Oktober 2010

PENGURUSAN PASTURA

PENGURUSAN PASTURA

                     
Berpandukan kepada gelagat/kelakuan bebiri yang secara ringkasnya telah dipaparkan di dalam artikel-artikel yang lalu, maka tidaklah keterlaluan sekiranya dinyatakan di sini bahawa pengurus ternakan mampu merancang dan menetapkan ragutan bebiri di sesuatu kawasan ragut.

Bermacam-macam kajian yang berkaitan telah dilakukan oleh pelbagai pihak di negara-negara maju di Eropah. Mereka yang terlibat adalah dari golongan ahli akademik dan saintis di pusat-pusat pengajian tinggi, pakar veterinar, pakar nutrisi dan tidak ketinggalan juga para pengeluar/penternak berskala besar. Kesemuanya berusaha membuat pelbagai kajian santifik daripada sains tumbuhan, sains haiwan, nutrisi ternakan, sains veterinar dan sehinggalah kepada kaedah pengawalan corak ragutan ternakan yang terperinci dan sofistikated dengan satu tujuan yang utama iaitu mencapai pengeluaran (pembiakan) yang optimum dan efektif.


Pelbagai kemajuan telah dicapai dalam aspek pengurusan pastura ini termasuklah sistem ragutan secara intensif dan terkawal di mana kebanyakan para penternak/pengeluar mempraktikkan penggunaan pagar elektrik. Sistem ini terbukti mampu mengawal corak ragutan bebiri di dalam kawasan tertentu di mana rumput/foraj yang diragut adalah di tahap kualiti yang terbaik. Dan secara tidak langsung ternakan mampu memenuhi keperluan nutrisinya pada peringkat pengeluaran yang berbeza-beza. 

Perbincangan dan penerangan secara menyeluruh tentang sistem ragutan intensif tidak mampu dipaparkan di sini. Insya'allah akan diusahakan suatu hari nanti jika masa mengizinkan. Daripada sudut gelagat/kelakuan, terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa seseorang penternak yang cekap dan kompeten mampu menentukan diet pemakanan yang baik untuk bebiri dan bukan sebaliknya. Buktinya sepertimana yang diperjelaskan sebelum daripada ini di dalam Gelagat/Kelakuan Semasa Makan. Walau apa pun, pujian harus diberikan terhadap sistem ragutan intensif terkawal yang ternyata mampu menyediakan makanan terbaik untuk ternakan di samping menjimat kos, tenaga dan masa.

Bebiri banyak menghabiskan masanya untuk makan berbanding dengan aktiviti-aktiviti lain. pengambilan makanan dimotivasikan oleh rasa lapar tetapi cara dan corak pemakanan ternakan adalah ditentukan oleh gelagat/kelakuan. Bebiri sememangnya amat mahir dalam aktiviti makan dan pemilihan rumput/foraj. 

Walaubagaimanapun, diet yang dipilih sendiri oleh bebiri selalunya tidak lengkap kandungan nutrisinya dan mungkin juga mereka mengambil makanan yang tiada kualiti. Masa yang dihabiskan untuk makan adalah berbeza-beza mengikut ketentuan stok makanan yang tersedia, kualiti makanan dan juga "peringkat pengeluaran" ternakan tersebut. "Peringkat pengeluaran" ternakan adalah merujuk kepada tahap keadaan stok ternakan sepertimana berikut:

1) Musim mengawan
2) Bunting di peringkat awal (2 - 4 bulan) 
3) Bunting di peringkat akhir (6 minggu terakhir)
4) Penyusuan anak 

Corak ragutan pula dipengaruhi oleh kesediaan punca air minuman bersih dan peringkat sosial ternakan di dalam kawanan. Yang jelasnya disini, penternak boleh mengubah corak ragutan di dalam sistem ragutan intensif yang terkawal bagi mencapai tahap pengeluaran (pembiakan) yang lebih efektif dan produktif...





Tiada ulasan: