Ahad, 17 Oktober 2010

GELAGAT/KELAKUAN MEMILIH MAKANAN

GELAGAT/KELAKUAN BEBIRI MEMILIH MAKANAN
  
Mulut bebiri adalah kecil tetapi mempunyai sepasang bibir yang menakjubkan. Mereka hanya perlu menggigit bahagian rumput/foraj yang diinginkan atau menggenggam erat sasaran makanan di antara gigi bawah (hadapan) dan gusi atas sambil membuat rentapan dengan sedikit sahaja pergerakan kepalanya (ke atas atau ke bawah). Mereka mampu meragut rumput yang berada rapat di tanah dan juga berkeupayaan memilih dedaun di dalam kawasan semak/belukar atau tumbuh-tumbuhan lain yang mereka suka.

Kombinasi gelagat dan anatomikal telah menjadikan bebiri sebagai haiwan yang terlalu memilih terhadap apa yang dimakan. Kebanyakan kajian yang dibuat untuk menilai tahap memilih makanan bebiri telah dilakukan di kawasan ragutan. Tetapi gelagat pilih memilih ini selalunya boleh diperhatikan ketika bebiri diberi makan konsentrat di dalam kandang atau di kawasan yang tertutup dan terkawal. Mana-mana penternak yang pernah menyediakan campuran pelbagai konsentrat kepada haiwan ini pasti boleh menceritakan betapa bebiri mampu memilih di antara pelbagai makanan tersebut. Bebiri akan memilih makanan lembut yang mudah dikunyah berbanding dengan yang lain walaupun apa yang dimakan itu kurang berzat dari segi nutrisinya. Bagi mengatasi masalah ini, kombinasi konsentrat tersebut seboleh-bolehnya mestilah bersaiz sama dan lembut.


 Bebiri akan memperlihatkan gelagatnya yang terlalu memilih apabila terlalu banyak rumput/foraj yang tersedia di hadapannya. Sikapnya yang terlalu memilih nanti akan berkurangan apabila rumput/foraj menjadi terhad. Sekiranya terdapat pelbagai jenis rumput/foraj di sesuatu kawasan, bebiri biasanya akan menunjukkan minat terhadap spesis foraj yang disukainya sahaja berbanding dengan yang lain. Sekali lagi dapat diperhatikan di sini bahawa bebiri akan menunjukkan sikap memilih tersebut. Tetapi jika sekiranya hanya terdapat satu jenis rumput/foraj sahaja, maka gelagat memilih akan serta-merta berubah dan mereka akan memakan apa sahaja rumput/foraj yang ada. Kalau dibandingkan dengan ruminan lain seperti lembu atau kuda, sikap memilih makanan ini memang menjadi hakcipta nombor satu bebiri....

Para pengkaji ruminan yang terdahulu telah membuktikan bahawa bebiri sememangnya mengaplikasikan deria lihat, sentuhan, rasa dan bau bagi tujuan memilih spesis rumput/foraj yang ingin dimakannya. Di antara kesemua deria tersebut, deria rasa adalah yang paling dominan. Deria bau dilihat tidak begitu berperanan dalam konteks pemilihan makanan bebiri. Deria lihat mungkin digunakan terutamanya untuk mengenalpasti rumput/foraj dan seterusnya membawa bebiri ke arah spesis rumput/foraj tersebut. Walaupun begitu, deria lihat tidaklah begitu mempengaruhi gelagat/kelakuan memilih bebiri.

Bebiri lebih gemar memakan dedaun dan seumpamanya yang mempunyai kandungan air yang tinggi berbanding dengan bebatang atau rumput/foraj yang kering serta kasar (coarse material). Mereka tidak suka makan atau meragut di kawasan yang terdapatnya najis/tinja mereka sendiri, tetapi gelagat/kelakuan sebegini agak berbeza dengan lembu. Itulah sebabnya mengapa bebiri boleh dilepaskan secara bebas bersama-sama kawanan lembu di suatu kawasan ragutan yang sama. Seperkara lagi yang perlu diberikan perhatian : Rasa lapar akan mengurangkan gelagat/kelakuan memilih sewaktu makan.

Bosan atau keinginan kepada sesuatu yang baru atau sikap yang suka meneroka ke tempat baru adalah di antara sebab utama mengapa bebiri sesekalinya memilih untuk memakan rumput/foraj yang kurang berkualiti walaupun pada masa dan tempat yang sama terhidang di depannya berlimpahan rumput/foraj yang jauh lebih berkualiti....


Tiada ulasan: