Rabu, 29 September 2010

KUNYAHAN DAN PENGHADAMAN MAKANAN




 Ada beberapa faktor yang menentukan masa yang digunakan oleh bebiri untuk memakan rumput/foraj dan bijirin.

1) Jenis dan jumlah makanan yang  tersedia ada;
2) Gelagat/perilaku ketika makan;
3) Tahap nutrisi yang diperlukan.

Sekiranya jumlah makanan adalah terhad sepertimana yang berlaku ketika musim kemarau ataupun apabila bebiri dihadkan memakan pada jumlah yang telah ditetapkan oleh penternak. Pada situasi sebegini, biasanya bebiri akan memakan apa-apa sahaja makanan yang ditemuinya ataupun yang diberi. Tetapi sekiranya jumlah makanan adalah banyak tanpa had, bebiri akan mula menunjukkan corak-corak gelagat/kelakuan pemakanannya. Inilah gelagat yang selalunya dirujuk sebagai perubahan semulajadi dalaman (Circadian Pattern) haiwan yang berlaku ekoran tindakbalasnya terhadap pusingan siang/malam dan lain-lain perubahan persekitaran.

Bebiri memakan dan memilih makanan secara bebas dan aktiviti ini begitu jelas sekali hanya dilakukan pada siang hari sahaja. Kebanyakan kajian tentang cara dan corak bebiri makan telah dijalankan di lapangan ataupun padang ragut. kajian tersebut juga dilakukan di kawasan yang beriklim panas dan kering. Dan hasil kajian tersebut mendapati bahawa ragutan yang paling aktif berlaku pada awal pagi sebelum terbitnya matahari dan pada lewat petang (senja) sebelum matahari terbenam. Keadaan cuaca juga boleh mengubah masa ragutan seperti apabila suhu menjadi panas melampau. Ini akan menyebabkan aktiviti ragutan yang bermula di awal pagi akan terhenti lebih awal. Sebaliknya cuaca sejuk tidak memberi apa-apa kesan ke atas aktiviti ragutan bebiri tetapi hujan lebat dan angin kencang sebahagian besarnya akan mengganggu corak ragutan.

 Tempoh waktu ragutan bebiri adalah di antara 5 hingga 10 jam sehari. Di dalam situasi di mana kualiti foraj kurang baik, bebiri mungkin meragut untuk tempoh yang agak lama bagi memenuhi keperluan nutrisinya. Walaupun begitu, bebiri yang meragut di kawasan yang mengandungi foraj berkualiti tinggi mungkin juga meragut melebihi daripada tempoh masa yang sepatutnya bagi memenuhi keperluannya. Hal sebegini bakal mengundang masalah praktikal disebabkan bebiri akan menjadi terlalu gemuk. Masalah makan melebihi daripada keperluan sebegini kerap terjadi terutama sekali semasa  proses penceraian anak dan ibu, sebelum musim mengawan atau di peringkat awal bunting. Penternak atau pengembala adalah dinasihatkan supaya menghadkan input makanan kepada ibu-ibu bebiri sekiranya didapati mereka menjadi terlalu gemuk.

Faktor lain yang boleh mempengaruhi masa ragutan adalah dengan memberikan makanan konsentrat tambahan seperti pelet kepada bebiri. Dengan cara ini, tempoh waktu ragutan boleh dikurangkan. Bebiri kurus biasanya makan lebih banyak berbanding dengan bebiri gemuk. Untuk membuktikan teori ini, cuba perhatikan gelagat bebiri kurus dan gemuk ketika mereka sedang makan atau ketika berada di kawasan ragut. Yang kurus begitu komited semasa makan berbanding bebiri gemuk yang lebih gemar berlegar-legar dan berehat. Seperkara lagi, bebiri yang digunting bulunya tidak suka berada di kawasan ragut semasa musim hujan atau cuaca sejuk.

Dua (2) lagi aktiviti utama bebiri selain daripada makan ialah tidur dan mengunyah (cud chewing). Bebiri yang sihat selalunya aktif selama 16 jam sehari dan kelihatan seolah-olah mengantukl (tidak tidur) selama 4 - 5 jam lagi. Masa yang betul-betul digunakan untuk tidur sebenarnya hanyalah 3 hingga 4 jam sahaja dalam sehari ataupun kurang sedikit daripada masa untuk makan.. Bebiri yang makan foraj kurang berkualiti akan turut mengurangkan aktiviti kunyahannya dan begitulah juga sebaliknya.



 FOTO PERUT BEBIRI DAN BAGAIMANA MAKANAN DIHADAMKAN







Tiada ulasan: