Ahad, 23 Mei 2010

SIFAT DAN KELAKUAN BEBIRI - BAHAGIAN KETIGA

KELAKUAN BEBIRI SEBELUM MELAHIRKAN ANAK

Bebiri mungkin melahirkan anak pada bila-bila masa samada di sebelah siang atau malam, tetapi ada beberapa pendapat yang mengatakan bahawa waktu kelahiran mungkin tertumpu pada waktu-waktu yang tertentu sahaja. Ada yang mengatakan waktu puncak kelahiran berlaku dari jam 9.00 pagi hingga ke tengah hari dan di antara jam 3.00 petang hingga 6.00 petang. Ada juga yang mengaitkan waktu kelahiran dengan waktu bebiri diberikan makan, iaitu jika diberi makan pada awal petang akan menguatkan kemungkinan waktu kelahiran bakal berlaku di sebelah malam.

Ibu bebiri akan mula gelisah apabila waktu waktu kelahiran semakin hampir. Kelakuan seperti menghentak kaki, mengeluarkan suara yang halus dan membuat gerakan pusingan adalah perkara yang biasa berlaku di dalam tempoh 60 sehingga 90 minit. Pengambilan makanan dan aktiviti mengunyah akan terhenti buat sementara waktu. Bagi ibu bebiri yang lebih tua, tempoh kegelisahan ini selalunya lebih singkat. Sesetengah ibu bebiri pula mungkin menunjukkan minat terhadap anak bebiri yang berada di dalam kawanan yang sama dengan menampakkan kelakuan seperti mencuci dan menjilat badan anak bebiri dan kekadangnya cuba "mencuri" anak bebiri lain.

Tempoh melahirkan anak bagi seseekor bebiri tidak memakan masa yang lama. Biasanya kurang dari 1 jam bermula dengan terkeluarnya organ seks (vulva) ibu bebiri yang berkenaan. Bagi bebiri muda pula, tempohnya mungkin melebihi 1 jam berbanding dengan bebiri matang yang cuma memerlukan masa 1/2 jam sahaja. Dan jika tempoh kelahiran melebihi daripada tempoh-tempoh yang tersebut di atas, maka penternak perlu segera tampil memberikan bantuan.

Sementara menunggu proses kelahiran yang seterusnya, ibu bebiri biasanya akan mendengus dan menjilat-jilat cecair (amniotic fluid) yang menitik keluar dari kemaluannya. Perlakuan sebegini akan terus dilakukan secara beulang-ulang tanpa henti selagi cecair tersebut masih terdapat di sekitar kedudukannya. Sesetengan pendapat menyatakan bahawa kelakuan ini membawa maksud bebiri berkenaan mahu menjadikan tempat tersebut sebagai "sarang" untuk melahirkan anaknya nanti. Ada satu laporan yang menyebut bahawa ibu bebiri sangat tertarik dan berminat dengan "sarang " berkenaan walaupun anak yang bakal dilahirkan nanti dipindahkan ke tempat lain. Walau apa pun, pendapat yang sedemikian hanyalah suatu kepercayaan yang digunapakai sejak bertahun-tahun lamanya tanpa sebarang sokongan kajian santifik. Perlakuan ini juga mempunyai implikasi-implikasi praktikal sekiranya ibu bebiri gagal memberikan perhatian terhadap anaknya hanya kerana anak yang dilahirkan merayau jauh dari tempat asal kelahiran. Ibu bebiri lazimnya akan duduk pada peringkat akhir kelahiran dan mungkin akan bangun berdiri semasa kelahiran berlaku.



Gambar ilustrasi diperolehi dari : Clipart.com


Topik seterusnya : Kelakuan selepas Kelahiran

Tiada ulasan: