Khamis, 29 April 2010

KESAN-KESAN PEMODENAN KE ATAS KELAKUAN BEBIRI

 
Sumber maklumat diperolehi dari :
Prof. Warren Gill
Animal Science Department
The University of Tennessee 

Lebih seabad lalu, Charles Darwin telah memberikan suatu penerangan yang menarik mengenai karenah penternak yang gemar atau cenderung untuk memilih sifat-sifat ekstrim sewaktu menjalankan aktiviti pembiakan bebiri. Kita boleh melihat keghairahan pemilik-pemilik bebiri sekarang yang gemar menghasilkan bebiri yang mempunyai tanduk yg cantik, telinga yang tidak terlalu besar (mengikut spesifikasi mereka tersendiri) dan lain-lain ciri yang berbentuk fizikal sahaja. Perilaku ekstrim seperti agresif, suka melompat, cemas atau gelisah, tidak menjaga anak atau kurang bernafsu adalah di antara ciri-ciri perilaku yang tidak sepatutnya berada di dalam kawanan ternakan. Walaubagaimanapun, ciri-ciri negatif sebegini boleh dielakkan sekiranya seseorang penternak menggunakan kebijaksanaannya semasa membuat proses pemilihan.

Kebolehan ibu bebiri menjaga anak dengan baik boleh dijadikan sebagai contoh perilaku yang terbaik dan menarik untuk dipelajari samada secara intensif ataupun di padang ragut. Kalau di kandang, proses kelahiran boleh dipantau secara lebih dekat dan bantuan boleh diberikan apabila diperlukan. Kelahiran kembar adalah perkara biasa dan amat-amat diharapkan. Tetapi jika kelahiran terjadi semasa di padang ragut, ibu bebiri tersebut terpaksa menempuhinya tanpa sebarang bantuan dan pemerhatian oleh manusia penternak. Dalam keadaan sebegini, kelahiran kembar dua apatah lagi tiga sememangnya tidak dialu-alukan. Keupayaan ibu bebiri melahir dan membesarkan anak-anak merupakan satu ciri perlakuan yang amat penting bagi kawanan bebiri yang dilepas bebas di padang ragut berbanding kawanan bebiri di dalam kandang/intensif. Sekiranya para penternak tidak memberikan keutamaan terhadap ciri perlakuan sebegini, mereka berkemungkinan besar bakal melahirkan baka-baka bebiri yang pasti sukar dikendalikan semasa proses kelahiran.

Jika dilihat daripada aspek kelakuan, bebiri pada kebiasaannya tidak banyak memberikan masalah kepada para penternak. Realitinya, bebiri adalah seekor haiwan yang lemah lembut. Ia layak dilabelkan sebagai "Starter Animal" dan boleh diperkenalkan kepada kanak-kanak (lelaki atau perempuan) yang berminat untuk belajar menternak. Bebiri mudah dilatih samada diikat atau tidak dan mudah bekerjasama walaupun dengan kanak-kanak yang tidak berpengalaman. Mungkin inilah bukti yang boleh dilihat hasil daripada proses domestifikasi kelakuan yang dibuat oleh manusia/penternak.


PERILAKU MENGAWAN 

Salah satu faktor terpenting untuk mengetahui samada berjaya atau tidaknya sesuatu operasi penternakan ditentukan oleh Kadar Pembiakan. Pembiakan yang efisien ditentukan oleh beberapa beberapa faktor termasuk persekitaran, diet pemakanan (nutrisi) dan genetik. Perilaku juga memainkan peranan penting di dalam pembiakan. Oleh itu, pengetahuan tentang  asas-asas perilaku pembiakan boleh membantu para penternak bebiri untuk diaplikasikan di dalam pengurusan ternakan yang mana ianya mampu meningkatkan kadar pembiakan ternakan.


KESUBURAN

Kesuburan bererti kematangan seksual. Bagi seekor bebiri, tempoh ini boleh dicapai seawal-awalnya pada umur 6 bulan dan dalam kebanyakan kes, biasanya berlaku dalam tempoh umur 7 hingga 12 bulan. Para pengkaji perilaku menyatakan kedua-dua pejantan dan betina muda sudah mampu melakukan aktiviti mengawan biarpun mekanisma pembiakan secara fisioliginya belum matang. Oleh yang demikian, kehamilan tidak akan berlaku. Sebaliknya sesetengah bebiri muda betina mengalami kitaran seksual, tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda estrus. 

Cita-cita kebanyakan penternak adalah untuk membiak betina muda seawal yang mungkin. Dan usaha ini memerlukan bebiri tersebut dibiakkan pada tahap umur 7 - 9 bulan. Kajian yang dijalankan telah membuktikan bahawa bebiri muda betina yang dibiakkan pada umur tahun pertama akan menjadi lebih produktif di sepanjang hayat mereka.
Bebiri muda sebegini biasanya tidak kerap mengalami kitaran seksual sepertimana bebiri betina dewasa dan hanya akan bermula secara aktif pada tahun yang seterusnya. Fakta ini turut menyokong betapa sukarnya untuk membiak bebiri betina muda, tetapi ia bukanlah suatu perkara yang mustahil.



PERCUMBUAN DAN PENGAWANAN

Kitaran seksual bebiri betina berlaku beberapa kali di waktu musim mengawan sehinggalah mereka berjaya dibiakkan oleh Pejantan. Kitaran ini mempunyai tempohnya yang tersendiri iaitu selang waktu 16 hari (secara normalnya di antara 14 hingga 16 hari). Tempoh sebenar "estrus" di waktu bebiri betina memerlukan khidmat Pejantan hanyalah selama 30 hingga 36 jam sahaja. Dan kiranya gagal dibiakkan di dalam tempoh yang singkat tersebut, terpaksalah penternak menunggu selama 16 hari lagi bagi membolehkan "estrus" berulang semula. Bebiri betina semasa di waktu 'hangat' sebegini akan mula aktif mencari Pejantan atau paling tidakpun cuba berada dekat dengan Pejantan. Mungkin pada peringkat awal "estrus" bebiri betina tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kehangatannya, tetapi apabila waktu berlalu perlakuan seksualnya akan bertambah aktif. Di kemuncak proses ini, bebiri betina akan mencium-cium, menjilat dan menyondol Pejantan.

Bebiri betina yang telah mencapai tahap kehangatan ini biasanya kerap mengeluarkan air kencing terutamanya apabila disentuh oleh Pejantan. Kelakuan kerap kencing ini akan memberi isyarat kepada Pejantan bahawa khidmatnya diperlukan untuk mengawan. Bebiri ini akan berusaha mendapatkan perhatian dengan menoleh kepala dan menggerak-gerakkan ekor kepada Pejantan untuk melihat reaksi dan perhatian Pejantan.

Apabila didapati adanya bebiri betina yang berada di dalam 'estrus', pejantan akan mula bertindak balas dengan menunjukkan suatu kelakuan klasiknya iaitu mendongak kepala ke atas sambil menggulung bibir atas ke arah hidung. kelakuan ini disebut sebagai "Flehmen response". Secara amnya, perlakuan ini ditunjukkan apabila pejantan menghidu air kencing yang dinyahkeluarkan oleh bebiri betina. Walaupun perlakuan ini dapat dilihat dengan jelas, ianya tidaklah boleh dianggap sebagai suatu komunikasi seksual sepenuhnya.

Pejantan juga akan mula menunjukkan beberapa lagi bentuk perlakuan seperti menghentak kaki, mencium organ seksual dan menyondol pasangannya di samping mengeluarkan suara-suara kasar melalui tekak. Perlakuan sebegini mungkin berlaku selama beberapa jam sebelum Pejantan mula memulakan langkah pertamanya untuk memanjat bebiri betina. Pejantan mungkin gagal dalam percubaan awalnya untuk membuat panjatan. Tetapi apabila panjatan berjaya dilakukan, proses ini akan terus berulang sehinggalah bebiri betina yang berkenaan berjaya dibiakkan.

Sekiranya terdapat lebih dari seekor betina berada dalam kehangatan seksual , persaingan untuk merebut pejantan akan terjadi yang mana bebiri-bebiri betina mula mengikut dan mengelilingi pejantan.


DOMINANCE EFFECT

Jika beberapa ekor Pejantan digunakan di dalam suatu kawanan bebiri, ada kemungkinan hairaki dominasi pejantan akan terbentuk. Di dalam keadaan-keadaan yang tertentu, perkara ini boleh memberikan implikasi-implikasi yang tidak baik kepada sesebuah pengurusan ternakan bebiri. Sebagai contohnya, Pejantan yang dominan mungkin berasal dari genetik yang kurang elok di mana anak-anak yang bakal dilahirkan nanti akan dipengaruhi oleh genetiknya. Satu lagi masalah serius yang mungkin terjadi ialah apabila pejantan dominan adalah dari jenis yang kurang subur. Berikan perhatian yang serius terhadap isu ini kerana implikasinya teramat tidak elok iaitu penternak bakal menyaksikan penurunan peratus kelahiran yang amat mendadak.

Pejantan matang selalunya akan mendominasi kawanan pejantan yang masih muda. Saiz badan juga boleh menentukan pejantan mana yang akan mendominasi kawanan sesama pejantan. Walaupun begitu, terdapat juga keadaan di mana pejantan bersaiz kecil serta agresif yang mampu mendominasi kawanan pejantan dan mampu membiak lebih banyak bebiri betina.

Pejantan pada kebiasaannya akan menunjukkan perlakuan garang dan suka bertarung sesama pejantan lain apabila ditempatkan bersama-sama kawanan bebiri betina yang perlu dibiakkan. Dalam kebanyakan kes, ianya bakal mengundang kepada kecederaan dan kepenatan kepada pasangan pejantan yang terlibat di dalam pertarungan tersebut. Pertarungan mengambil masa yang agak lama sekiranya kedua-dua pejantan tersebut sama-sama kuat. Oleh yang demikian, adalah dinasihatkan agar diletakkan tiga (3) ekor pejantan di dalam suatu kawanan supaya pejantan yang tidak terlibat dengan pertarungan boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja-kerja pembiakan sementara pertarungan di antara dua pejantan lain berlangsung.


DORONGAN SEKSUAL (LIBIDO)

Pejantan yang mempunyai dorongan seksual (libido) yang tinggi akan mempamerkan keinginan untuk memanjat di dalam usahanya untuk pembiakan bebiri betina. Sesetengah penternak menggelarkan pejantan sebegini sebagai "Pekerja" atau pejantan yang serius didalam menjalankan urusan pekerjaannya. Mereka mempamerkan pelbagai tahap dorongan seksual (libido), yang bermula dari aktivitinya yang suka bersendirian kepada kelakuan agresif sehingga ia sanggup berlapar dahaga. Segala-galanya adalah semata-mata untuk mencari dan membiakkan bebiri betina yang berada di dalam kehangatan seksual (estrus).

Terdapat beberapa ujian yang boleh digunakan untuk menentukan tahap seksual pejantan. Di antaranya termasuk mengukur masa, tindakbalas pejantan apabila ditempatkan bersama-sama bebiri betina yang berada di dalam waktu kehangatan (estrus). Kaedah yang seterusnya ialah dengan memerhatikan kadar (ratio) "panjatan yang berjaya" terhadap "cubaan panjatan" (Panjatan bermaksud aktiviti kelakuan seksual pejantan di dalam usaha untuk membiak bebiri betina). Perlaksanaan ujian ini biasanya dijalankan di dalam tempoh dua (2) minggu atau lebih.

Walau apa sekalipun, ujian yang disebut di atas tidaklah boleh dijadikan sandaran utama untuk menentukan tahap keberkesanan seksualiti pejantan. Mungkin para penternak boleh mempraktikkan satu lagi kaedah iaitu meletakkan cat pewarna di dada pejantan. Apabila "panjatan" berjaya dilakukan, cat pewarna tersebut akan melekat di belakang betina yang berjaya dipanjat. Juga dinasihatkan supaya para penternak menyimpan rekod bagi aktiviti-aktiviti pembiakan ini untuk memudahkan proses penilaian ke atas keberkesanan pejantan yang digunakan. Dan paling tidaknya, penternak boleh menganggarkan tarikh kelahiran bagi tiap-tiap ekor bebiri betina.

Tiada ulasan: